SELANGOR FC
BERITA

?Reviu Perlawanan LS23 | Kuching City FC 2-1 Selangor FC | Kami Akan Bangkit Untuk Baki 2 Perlawanan Terakhir Liga Super 2024/25.

Mar 17, 2025 - FAS

Cubaan Selangor FC untuk membawa pulang mata dari negeri Sarawak tidak berjaya selepas tewas tipis ke atas Kuching City FC semalam di Stadium Negeri.

Selangor FC banyak membuat percubaan namun Ramadhan Saifullah terdahulu menjaringkan gol untuk Kuching City FC pada minit ke-26 perlawanan. Kemudian, Mukhairi Ajmal berjaya memberi nafas baru kepada pasukan dengan menyamakan kedudukan dengan jaringan gol pada minit ke-50 selepas menerima hantaran bola leret daripada Quentin Cheng. Perlawanan berterusan seri selama 34 minit sehingga Jimmy Raymond menambah duka skuad Merah Kuning dengan gol pada minit ke-85. Perlawanan kekal dengan keputusan 1-2 sehingga wisel penamat ditiup.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC,  Katsuhito Kinoshi, memohon maaf kepada para penyokong atas kekalahan ini.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada para penyokong yang terbang ke Sarawak untuk perlawanan semalam. Biarpun hujan lebat, mereka tetap menyokong pasukan. Saya amat menghargainya,” Kinoshi mulakan sidang media.

“Komen saya berkenaan perlawanan pula,  kita tidak bermain dengan cara yang sepatutnya, dan disebabkan itu, kita bolos satu gol dalam separuh masa pertama. Kemudian, kita buat beberapa pertukaran dalam separuh masa kedua, satu gol berjaya dijaringkan tetapi hanya disebabkan kesilapan kecil, kita dihukum dengan satu lagi gol daripada pihak lawan.” tegas Kinoshi.

Selangor FC berjaya mempertahankan tempat kedua dalam saingan Liga Super 2024/25 selepas meraih 46 mata daripada 14 kemenangan, empat seri dan empat kalah. Selain itu, 41 jaringan gol telah terhasil daripada 22 aksi yang telah berlangsung. 

Seterusnya, liga akan berehat bagi memberi laluan kepada skuad Kebangsaan mengharungi perlawanan  antarabangsa sepanjang kalendar FIFA berlangsung. Pasukan akan kembali beraksi pada 5 April menenteng Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya jam 8:15 malam.

Pihak Pengurusan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong terbang ke Sarawak bagi memberi sokongan anda kepada pasukan. Pengorbanan anda amat kami hargai. 

Demi Kebanggaan!